Selasa, 7 Mei 2013

Antara masalah besar negara ialah penyalahgunaan dadah. Kini, dadah sintetik atau dadah buatan semakin mudah didapati. Kesan penyalahgunaannya lebih teruk berbanding dadah jenis syabu dan ganja. Jelaskan kesan tersebut.

Masalah penyalahgunaan dadah merupakan isu besar kepada negara. Masalah ini boleh merencatkan transformasi pembangunan kerajaan. Kemajuan negara boleh terjejas dengan peningkatan kes penyalahgunaan dadah. Kewujudan dadah sintetik telah membawa kepada peningkatan kes berkaitan dengan dadah. Ketagihan dadah jenis ini meninggalkan kesan yang lebih berat.

       Pengambilan dadah sintetik menyebabkan ketagihan yang lebih teruk. Dadah buatan ialah dadah yang tidak tulen, sering dicampurkan dengan bahan lain untuk mencukupkan sukatan. Untuk melepaskan gian, pengambilan dalam dos yang sentiasa meningkat diperlukan kerana sukatan dos itu tidak mencukupi untuk tahap khayal yang diperlukan. Walaupun mencukupi tetapi kesan penagihan akan meningkat apabila daya toleransi badan meningkat terhadap kadar pengambilan. Dengan ini wujud sifat pergantungan.

       Kecenderungan sakit mental dalam masa yang singkat juga kesan akibat ketagihan. Untuk meningkatkan tahap khayal dan rangsangan, pelbagai campuran dimasukkan oleh penagih dan juga pengedar. Pengambilan berterusan memberi kesan kepada saraf badan dan otak. Kemurungan dan keresahan menjadikan dopamina dan serotonin dalam otak berkurang yang akhirnya boleh menyebabkan gangguan kepada saraf mental. Peningkatan kes kecelaruan mental merupakan salah satu masalah negara pada masa ini.

     Kesan penagihan dadah sintetik ini juga boleh membawa kematian dalam usia muda. Bahan untuk menghasilkan dadah sintetik melibatkan bahan yang tidak boleh diterima oleh badan, 'beracun' dan merosakkan. Penurunan selera makan dan berat badan, menjejaskan pembinaan antibodi. Kesan ketagihan jangka panjang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, imunisasi lemah, kegagalan fungsi jantung dan kerosakkan hati. Kematian pada usia muda, kehilangan sumber tenaga kepada negara.

     Kesan pengambilan dadah ini juga akan mewujudkan sifat pergantungan, selera makan dan tidur terganggu apabila gagal mendapat dos yang mencukupi. Berat badan akan menurun, paranoid dan boleh berlaku perlakuan luar jangka. Dalam jangka pangjang membawa risiko yang mewujudkan halusinasi dn kelakuan psikotik. Halusinasi yang menyerang meningkatkan lagi gangguan tidur sehinggakan boleh tidak tidur selama dua minggu.

      Kesan terakhir ialah menjerumus kepada perlakuan ganas. Ketagihan berterusan mewujudkan perlakuan yang dikenali sebagai 'tweaker' atau 'mengidam ice' yang lebih banyak, tetapi gagal mendapat khayal yang 'mencukupi' boleh membawa perlakuan psikotik, ganas dan tidak rasional. Tahap perlakuan psikotik, mewujudkan ancaman dan risiko ke atas ibu bapa sendiri dan mereka yang terdekat merupakan cerminan kepada tahap ketagihan yang teruk. 

      Kesimpulannya, masalah penyalahgunaan dadah merupakan bebanan kepada negara. Oleh itu, peranan ibu bapa, masyarakat dan pelbagai pihak hendaklah digembleng. Apa yang dibimbangi, wujud 'tangan' ghaib dalam permasalahan ini. Kerugian dari segi masa, kos, tenaga, kepakaran, tumpuan pemikiran dan tindakan melibatkan isu ini mesti dirungkai untuk Malaysia yang sejahtera.

Pengiktirafan harta intelek memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah yang sesuai perlu diambil untuk mendukung pengiktirafan ini. Jelaskan pernyataan ini.

Harta intelek merupakan hasil aktiviti dan kreativiti minda seseorang melalui disiplin yang ketat. Tanpa kekuatan daya intelektual, tidak akan terhasil suatu ciptaan. Oleh itu, pengiktirafan amat dituntut atas hasil ciptaan intelek ini.

    Pengiktirafan harta intelek akan mewujudkan kesan positif kepada ekonomi negara. Dengan mempatenkan hak cipta, produk-produk tempatan akan dilindungi daripada peniruan. Produk persendirian juga akan mendapat perlindungan. Dengan pengiktirafan, pemilik hak cipta akan mendapat pulangan sewajarnya. Pengiktirafan memberi hak jualan, mewujudkan pasaran kerana jaminan ketulenan daripada pemilik hak cipta asal. Dengan pengiktirafan, keraguan dalam membuat pembelian produk yang tidak menepati piawaian tidak akan berbangkit. Dengan ini membantu merangsang aktiviti ekonomi negara.
                   
    Negara akan dihormati kerana tegas memperjuangkan hak milik seseorang atau sebuah organisasi. Berbanding dengan negara yang mengamalkan peniruan akta hak cipta, negara tersebut dilabelkan tidak menghormati dan melakukan perlanggaran hak orang lain. Sebelum penguatkuasaan akta hak cipta sepenuhnya, Malaysia pernah dilabelkan antara negara yang tidak bertindak tegas terhadap hak cipta oleh Jabatan Negara Amerika. Label ini boleh merosakkan iklim pelaburan di Malaysia.
   
       Kesan positif yang amat jelas dengan pengiktirafan harta intelek adalah untuk menggalakkan penciptaan. Perlindungan hak cipta kepada pengkarya atau pencipta mewujudkan rangsangan untuk terus berkarya kerana ciptaannya mendapat perlindungan daripada peniruan pihak lain yang akhirnya mengambil alih peluang ekonomi daripada hasil ciptaan berkenaan. Pencipta berasa dihargai dan mendapat pengiktirafan atas keupayaan mereka. Perlindungan dan pengiktirafan juga mengangkat nama mereka sebagai pemilik yang membuktikan keupayaan mereka. Hal ini mendorong penghasilan ciptaan dan rekaan-rekaan baharu yang lebih inovatif dan dinamik.
              
         Langkah-langkah perlu diambil bagi mendukung langkah pengiktirafan ini. Memupuk kesedaran rakyat merupakan langkah terbaik agar masyarakat turut terdidik untuk tidak menyokong aktiviti pelanggaran hak cipta. Tarikh 26 April setiap tahun diraikan sebagai Hari Harta Intelek Negara yang juga bersamaan dengan sambutan Hari Harta Intelek Sedunia. Objektif utama sambutan Hari Harta Intelek Negara adalah meningkatkan pengetahuan dan tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya harta intelek dan menghargai sumbangan komuniti harta intelek.

    Penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas ke atas perlanggaran akta hak cipta dapat mengurangkan kes perlanggaran hak cipta. Penguatkuasaan undang-undang melalui pelbagai akta dapat membantu membendung masalah yang berlaku. Penubuhan Mahkamah Harta Intelek dapat berfungsi menangani kes-kes berkaitan dengan harta intelek. Hukuman dan denda selain bayaran ganti rugi perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang meniru. Disyorkan agar persetujuan dicapai di peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dikenakan tindakan seperti mengeluarkan mereka yang terlibat daripada senarai keutamaan dagangan.
    
        Kesimpulannya, usaha kerajaan memberi pengiktirafan terhadap harta intelek perlu mendapat sokongan semua pihak. Tanpa sokongan masyarakat, usaha menegakkan hak cipta daripada diciplak dan ditiru atau dipatenkan dalam bentuk yang sedikit berbeza tidak akan berkesan.