Selasa, 7 Mei 2013

Pengiktirafan harta intelek memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah yang sesuai perlu diambil untuk mendukung pengiktirafan ini. Jelaskan pernyataan ini.

Harta intelek merupakan hasil aktiviti dan kreativiti minda seseorang melalui disiplin yang ketat. Tanpa kekuatan daya intelektual, tidak akan terhasil suatu ciptaan. Oleh itu, pengiktirafan amat dituntut atas hasil ciptaan intelek ini.

    Pengiktirafan harta intelek akan mewujudkan kesan positif kepada ekonomi negara. Dengan mempatenkan hak cipta, produk-produk tempatan akan dilindungi daripada peniruan. Produk persendirian juga akan mendapat perlindungan. Dengan pengiktirafan, pemilik hak cipta akan mendapat pulangan sewajarnya. Pengiktirafan memberi hak jualan, mewujudkan pasaran kerana jaminan ketulenan daripada pemilik hak cipta asal. Dengan pengiktirafan, keraguan dalam membuat pembelian produk yang tidak menepati piawaian tidak akan berbangkit. Dengan ini membantu merangsang aktiviti ekonomi negara.
                   
    Negara akan dihormati kerana tegas memperjuangkan hak milik seseorang atau sebuah organisasi. Berbanding dengan negara yang mengamalkan peniruan akta hak cipta, negara tersebut dilabelkan tidak menghormati dan melakukan perlanggaran hak orang lain. Sebelum penguatkuasaan akta hak cipta sepenuhnya, Malaysia pernah dilabelkan antara negara yang tidak bertindak tegas terhadap hak cipta oleh Jabatan Negara Amerika. Label ini boleh merosakkan iklim pelaburan di Malaysia.
   
       Kesan positif yang amat jelas dengan pengiktirafan harta intelek adalah untuk menggalakkan penciptaan. Perlindungan hak cipta kepada pengkarya atau pencipta mewujudkan rangsangan untuk terus berkarya kerana ciptaannya mendapat perlindungan daripada peniruan pihak lain yang akhirnya mengambil alih peluang ekonomi daripada hasil ciptaan berkenaan. Pencipta berasa dihargai dan mendapat pengiktirafan atas keupayaan mereka. Perlindungan dan pengiktirafan juga mengangkat nama mereka sebagai pemilik yang membuktikan keupayaan mereka. Hal ini mendorong penghasilan ciptaan dan rekaan-rekaan baharu yang lebih inovatif dan dinamik.
              
         Langkah-langkah perlu diambil bagi mendukung langkah pengiktirafan ini. Memupuk kesedaran rakyat merupakan langkah terbaik agar masyarakat turut terdidik untuk tidak menyokong aktiviti pelanggaran hak cipta. Tarikh 26 April setiap tahun diraikan sebagai Hari Harta Intelek Negara yang juga bersamaan dengan sambutan Hari Harta Intelek Sedunia. Objektif utama sambutan Hari Harta Intelek Negara adalah meningkatkan pengetahuan dan tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya harta intelek dan menghargai sumbangan komuniti harta intelek.

    Penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas ke atas perlanggaran akta hak cipta dapat mengurangkan kes perlanggaran hak cipta. Penguatkuasaan undang-undang melalui pelbagai akta dapat membantu membendung masalah yang berlaku. Penubuhan Mahkamah Harta Intelek dapat berfungsi menangani kes-kes berkaitan dengan harta intelek. Hukuman dan denda selain bayaran ganti rugi perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang meniru. Disyorkan agar persetujuan dicapai di peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dikenakan tindakan seperti mengeluarkan mereka yang terlibat daripada senarai keutamaan dagangan.
    
        Kesimpulannya, usaha kerajaan memberi pengiktirafan terhadap harta intelek perlu mendapat sokongan semua pihak. Tanpa sokongan masyarakat, usaha menegakkan hak cipta daripada diciplak dan ditiru atau dipatenkan dalam bentuk yang sedikit berbeza tidak akan berkesan.
                    
                       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan